Sunday, May 3, 2009

Khalid Akan Beli SYABAS Kurang RM 1.5 Bilion. JIMAT RM 4.5 BILION

artikel ini telah disiarkan di tranungkite.net, dan diundi 4 bintang oleh pembac
a
oleh Afif Nazmi,
Mungkinkah Khalid Ibrahim, MB Selangor sekali lagi akan menggemparkan dunia korporat dan pasaran saham tempatan ?

Kita sedia maklum Khalid Ibrahim beberapa dekad lalu telah membina nama yang cukup gah dalam dunia korporat apabila berjaya mengambilalih dan membawa pulang syarikat perladangan terbesar di Eropah, Guthrie Plc. Seterusnya Guthrie Plc kemudiannya dikenali Guthrie Berhad menjadi salah satu aset paling beharga di bawah Permodalan Nasional Berhad.

Atas kejayaan itu, Khalid pantas meningkat naik hingga dilantik mengetuai syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan nilai aset melebihi RM 100, 000, 000, 000. 00. Syarikat tersebut tidak lain tidak bukan ialah Permodalan Nasional Berhad yang kini memiliki Sime Darby, UMW Group, Pelangi Berhad, Maybank, dan berpuluh - puluh lagi syarikat terkemuka bertaraf multinasional di dalam negara.

Pada hari ini Tan Sri Dato Khalid Ibrahim ialah Menteri Besar di negeri termaju di Malaysia iaitu Selangor atas kapasitinya sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Selangor. Tawaran Khalid untuk mengambil alih 4 syarikat konsesi air menghadapi masalah apabila syarikat- syarikat konsesi air tersebut dengan sengaja meletakkan harga yang terlampau tinggi iaitu 3 kali ganda harga pasaran bagi menggagalkan usaha Khalid Ibrahim. 2 daripada syarikat konsesi air tersebut adalah dimiliki oleh Puncak Niaga Berhad iaitu sebuah syarikat milik Tan Sri Rozali Ismail. Usaha syarikat konsesi air ini dipercayai sebagai usaha UMNO melalui Tan Sri Rozali Ismail bagi menggalkan usaha Khalid memberi kebajikan kepada rakyat Selangor. Jika pelan Khalid gagal, ini bermakna hasrat Khalid meneruskan program pemberian air percuma mungkin semakin sukar.

Untuk makluman, pada tahun kewangan 2007 Puncak Niaga Holding Bhd yang juga memiliki kepentingan terbesar dalam SYABAS memperoleh pendapatan RM1,333.1 juta hasil daripada perniagaan air. Perniagaan air adalah mewakili 90% daripada pendapatan keseluruhan Puncak Niaga Holding Berhad. Keuntungan bagi tahun kewangan 2006 bagi perniagaan air Puncak Niaga adalah sebanyak RM 367.3 juta manakala pada tahun kewangan 2007, keuntungan yang diperolehi adalah sebanyak RM 115.4 juta.

Perangkaan ini sekaligus membuktikan perniagaan konsesi air adalah satu perniagaan yang amat menguntungkan lebih- lebih lagi jika ia diuruskan secara cekap. Fakta ini sekaligus menolak tohmahan ataupun dakwaan jahat UMNO bahawa pengambilalihan syarikat konsesi air merugikan wang rakyat. Sebaliknya kenyataan yang harus digembar gemburkan pengambilalihan 4 syarikat konsesi air ini pada jangka masa panjang akan membolehkan kerajaan negeri Selangor menerima pendapatan tambahan antara RM 450, 000, 000. 00 hingga lebih RM 1000, 000, 000. 00 setahun.

Hasil daripada keuntungan ini sudah tentu mampu digunakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim untuk melaksanakan agenda kebajikan untuk rakyat. Ini termasuklah melaksanakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor ( MES ) dengan lebih berjaya lagi selain menambah jumlah meter padu air percuma untuk kegunaan rakyat Selangor. Jika pengambilalihan ini berjaya, agenda memajukan Selangor setaraf bandaraya termaju dunia bukan satu angan- angan kosong. Ia hanya menjadi satu angan - angan kosong jika pemerintahnya UMNO dan BN oleh kerana mereka menjana ekonomi hanya untuk kepentingan diri dan kroni bukannya rakyat.

Namun masalahnya di sini ialah keempat - empat syarikat konsesi air tersebut enggan menerima tawaran Tan Sri Khalid sebanyak RM 2 bilion bagi mengambilalih majoriti kepentingan dalam syarikat mereka. Sebagai seorang pentadbir negeri, sudah tentulah harga pengambilalihan RM 6 Bilion yang diminta 4 syarikat konsesi tersebut terlampau tinggi. Tambahan Khalid yang mempunyai pengalaman berpuluh – puluh tahun dalam dunia korporat di peringkat tempatan mahupun antarabangsa sudah tentu tahu bahawa adalah satu kesilapan besar bersetuju dengan harga yang diminta pengendali- pengendali konsesi air tersebut lebih – lebih lagi dalam keadaaan krisis ekonomi yang makin meruncing ini.

Justeru Khalid mengambil langkah bijak dengan membuat pengumuman di hari perhimpunan bersama staf – stafnya untuk tidak meneruskan usaha pengambilalihan syarikat konsesi air. Khalid tahu dan sedar bahawa keadaan ekonomi dunia yang teruk akan terus menjejaskan ekonomi Malaysia. Puncak Niaga Holding Berhad yang memiliki 2 syarikat konsesi air di Selangor sudah tentu turut sama terkena tempias masalah ekonomi yang melanda negara.

Akibatnya saham Puncak Niaga diramalkan akan menjunam dan terus menjunam dalam masa terdekat. Kenyataan Khalid untuk menghentikan sebarang usaha pengambilalihan konsesi air sudah tentu membantu merendahkan lagi nilai saham Puncak Niaga Holding Berhad.

Apa yang harus diperhatikan , dalam masa yang sama Puncak Niaga juga terpaksa berhadapan dengan masalah penyelenggaraan air yang tinggi. Ini belum termasuk masalah untuk menggantikan paip atau infrastruktur air yang sudah berusia. Untuk mengatasi masalah ini sudah tentu Puncak Niaga memerlukan suntikan modal atau sumber pembiayaan pinjaman dalam jumlah yang amat besar.

Dalam keadaan ekonomi yang kian meruncing apakah Puncak Niaga mampu mencari rakan niaga baru selain kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Persoalan sama yang harus ditanya apakah Puncak Niaga mampu mendapatkan pinjaman atau menerbitkan waran di pasaran terbuka ?

Sudah tentu dalam keadaan ekonomi yang amat kritikal ini mana- mana bank , institusi kewangan tidak sudi menawarkan pinjaman dalam jumlah yang besar. Pelabur pula rata- rata menarik diri dari pelaburan sedia ada dan membuat pelaburan di tempat yang lebih rendah risikonya seperti di bank dan syarikat pengurusan dana. Pihak yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh pada masa kini hanyalah kerajaan – kerajaan negeri. Itupun ia harus diuruskan dengan cekap dan cermat.

Jika diteliti hampir semua syarikat – syarikat tersenarai di Bursa Malaysia baik kecil, sederhana ataupun besar di papan utama, papan kedua ataupun MESDAQ tidak terlepas daripada tempias krisis ekonomi global. Lebih – lebih lagi krisis ini bermula di Amerika yang merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Rata- rata syarikat di Bursa Malaysia mengalami penurunan nilai antara 25 % - 60 % dalam tempoh kurang 6 bulan. Bahkan syarikat – syarikat milik kerajaan di bawah pengurusan Khazanah Nasional mengalami penurunan nilai asset lebih 20.18% iaitu lebih RM 17.8 Bilion.

Apabila faktor – faktor dan keadaan ini digabungkan, adalah berkemungkinan besar saham Puncak Niaga akan mengalami penurunan drastic dalam masa terdekat. Bahkan tidak mustahil jika dikatakan saham Puncak Niaga akan mengalami penurunan nilai antara 30 % - 50% dalam masa kurang 6 bulan.

Mungkin itulah sebabnya Tan Sri Khalid Ibrahim sengaja menghentikan usaha pengambilalihan Puncak Niaga dan 3 syarikat konsesi air lain di Selangor. Sebagai seorang tokoh perniagaan terkemuka, Khalid Ibrahim amat sedar Puncak Niaga dan 3 syarikat konsesi air boleh dibeli dengan harga kurang RM 1.5 Bilion ( RM 1500, 000, 000. 00 ). Ia adalah 4 kali lebih murah daripada harga yang diminta Puncak Niaga dan 3 syarikat konsesi air lain.

Atau sekali lagi Khalid Ibrahim akan mengemudi Kumpulan Darul Ehsan Berhad bagi mencipta sekali lagi sejarah pengambilalihan yang amat mengagumkan. Kita tentu tahu bagaimana Khalid Ibrahim berjaya mengambialih syarikat perladangan tertua dan terbesar di Eropah pada beberapa dekad lalu melalui insiden yang dikenali sebagai “ serangan subuh” atau “ down rid” di Bursa Saham London. Fenomena itu berjaya menggemparkan Britain dan Eropah. Boleh jadi kaedah yang sama akan digunakan Khalid Ibrahim untuk mengambilalih Puncak Niaga dan 3 syarikat konsesi air lain di Selangor untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

UMNO perlu sedar kali ini mereka bukan berhadapan dengan seorang pentadbir negeri semata- mata, bahkan Khalid Ibrahim adalah bekas tokoh perniagaan terkemuka di Malaysia dan negara serantau. Khalid Ibrahim telah membuktikan kewibawaan dan ketokohannya dalam memimpin empayar perniagaan gergasi termasuklah Kumpulan Permodan Nasional Berhad dan Guthrie Berhad ( kini digabung membentuk Sime Darby Berhad ). Bahkan Khalid Ibrahim pernah diiktiraf sebagai Ketua Eksekutif terbaik di Malaysia apabila dianugerahkan “ CEO Of The Year “ pada tahun 1997. Kejayaan menggemparkan pasaran saham Britain sudah tentu cukup untuk membuktikan kehebatan Khalid Ibrahim dalam arena korporat terutama dalam usaha penggabungan dan pengambilalihan ( M&A ).

Mengenai Dasar PPSMI dan " 3 KEBODOHAN

Oleh Afif Nazmi

Artikel ini saya siarkan kembali untuk menjelaskan pendirian saya selaku mahasiswa mengenai dasar PPSMI.
Dasar sains dan matematik dalam bahas inggeris jika diteruskan akan mewujudkan masalah 3 KEBODOHAN...
Apa kesan jika pelajar itu pintar dalam mate dan sains tapi dia lemah dalam bahasa inggeris ( bahasa penjajah ) ???
Kesannya sudah tentu beliau akan bodoh ketiga- tiga subjek hanya atas sebab pelajar - pelajar ini tidak dapat menguasai bahasa inggeris dengan baik. Sudah tentu ia malang kepada negera kita yang selama ini bekerja keras untuk melahirkan teknokrat- teknokrat unggul.
Lebih mendukacitakan, didapati rata- rata guru tidak pandai mengajar dalam bahasa inggeris terutama guru- guru di sekolah biasa. Tinjauan seorang bekas felo kanan Insttitut Kajian Strategik dan Antarabangsa atau ISIS mendapati hampir 99% pelajar luar bandar tercicir akibat dasar ini.
Jika hujah kementerian pelajaran adanya peningkatan dalam mata pelajaran sains dan matematik dalam keputusan peperiksaan pmr dan spm boleh menjadi satu faktor merestui dasar ini, maka
Apa yang saya mahu persoalkan ialah
1) ia tidak boleh dijadikan ukuran oleh kerana pelajar diberi pilihan dwibahasa. Cuba lihat adakah pelajar luar bandar lebih berminat menjawab dalam Bahasa Inggeris. Saya kira pelajar melayu di bandar juga hanya segelintir yang menjawab dalam bahasa inggeris . Yang banyak menjawab dalam bahasa inggeris adalah orang- orang cina dan india di bandar- bandar.
2) bukankah gred lulus dalam apa2 peperiksaan baik upsr, pmr dan spm ditentukan oleh kementerian pelajaran. Saya mendapat maklumat gred lulus dan score direndahkan untuk membuktikan dasar ini berjaya
DASAR MERITROKASI YANG DIPERKENALKAN TUN MAHATHIR
1) Apakah kesan dasar mengginggeriskan Sains dan Matematik terhadap peluang kemasukan pelajar melayu ke IPTA teruatama bagi kursus- kursus kritikal sains dan teknologi ?
Didapati pelajar melayu terutama pelajar luar bandar terbukti lemah dalam bahasa inggeris. Manakala pelajar india dan cina lebih jauh ke hadapan dalam menguasai bahasa inggeris.
Bukankah dasar ini secara tidak langsung dalam jangka masa pendak dan panjang ia akan mengurangkan peluang pelajar melayu untuk memasuki IPTA.
Akibatnya kita akan kekurangan jurutera, juruukur, arkitek, doktor, ahli farmasi dan sebagainya berbangsa melayu jika dasar ini diteruskan seterusnya hasrat untuk membaiki kehidupan luar bandar melalui kecermelangan pendidikan mungkin juga akan terbantut
SILA AMATI APA YANG PROF UNGKU AZIZ KATA
Saya kira majoriti rakyat Malaysia menghormati pandangan Prof Diraja Ungku Aziz sebagai cendiakawan terunggul negara kita.
Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyebut pada awal- awal penubuhan asasi UM ( pusat persediaan sebelum ijazah), bahasa pengantar yang digunakan adalah Bahasa Melayu.
Apa yang menariknya menurut pak Engku Aziz, bekas graduan pada tahun- tahun awal penubuhan asasi UM majoritinya pada hari ini berpendapatan melebihi RM 45, 000. 00 sebulan. Ia adalah satu angka lumayan pendapatan seorang profesional di Malaysia.
Bukankah ini membuktikan dasar pembelajaran dalam bahasa melayu merupakan satu kejayaan. Ia juga jelas membuktikan bahasa melayu adalah satu bahasa yang sesuai dijadikan bahasa pengantar bagi mata pelajaran sains dan matematik.
Seterusnya mari kita lihat hasrat dan tujuan penubuhan UKM. UKM diilham dan ditubuhkan atas semangat mendaulatkan bahasa melayu di negara kita. Oleh kerana itu hingga hari ini UKM masih menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar termasuklah bagi kursus- kursus kritikal dalam bidang sains dan teknologi seperti kejuruteraan, perubatan, farmasi, optometris dan seumpamanya.
Soalan yang harus kita tanya, adakah graduan UKM dalam bidang sains dan teknologi seperti jurutera, doktor, ahli farmasi tidak laku di pasaran kerja ????
Saya kira dalam bidang perubatan dan sains kesihatan bersekutu, UKM adalah antara 3 IPTA terbaik di Malaysia. Soalan yang sama kita tanya mengenai pelajar- pelajar UiTM secara jujur yang menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar. Saya kira berdasarkan maklumat dari banyak sumber - sumber sahih, graduan UiTM adalah graduan yang paling tinggi penganggurannya termasuklah graduan dalam bidang kejuruteraan.
Mengenai memeperkasakan bahasa inggeris. Apabila saya mengajukan soalan kepada pakar- pakar bahasa inggeris bagaimana kita mahu memperkasakan bahasa inggris anak- anak kita dan apakah pengenalan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris membantu pelajar- pelajar kita menguasai Bahasa Inggeris.
Beliau akui ia membantu tapi " ia tidak banyak menyumbang untuk menguasai bahasa inggeris". Tambah beliau lagi, cara terbaik adalah dengan memperkasakan subjek Bahasa Inggeris itu sendiri. Ia boleh dilakukan melalui pengenalan sastera Inggeris bermutu tinggi. Kaedah lain pula yang boleh digunapakai adalah dengan mewajibkan pelajar- pelajar ini membaca bahan bacaan inggeris tetapi bahan bacaan tersebut hendaklah bahan bacaan yang mereka sukai. Beliau turut bersetuju bahawa PPSMI itu hanya akan membahayakan masa depan pelajar- pelajar terutama mereka yang mendapat pendidikan di sekolah biasa luar bandar.
CUBA ANDA LIHAT NEGARA- NEGARA MAJU
JEPUN
Jepun menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar pendidikan. Walaupun begitu, Jepun cukup dikenali seantero dunia dengan penghasilan ciptaan- ciptaan baru terutama dalam industri elektronik. Sebut sahaja jenama - jenama seperti Toyota, Honda, Nikon, Sharp, Toshiba, Mitsubishi, Daihatsu dan Suzuki. Semuanya ditulis " made in Japan ".
JERMAN
Jerman juga menggunakan bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar. Bahkan di peringkat pengajian tinggi sekalipun, bahasa ibunda dikekalkan sebagai bahasa pengantar. Untuk itu pelajar negara- negara lain yang berkeinginan menuntut pelajaran di Jerman perlu terlebih dahulu mempelajari bahasa Jerman. Walaupun begitu, Jerman dikenali senatero dunia sebagai negara maju dan adalah sebuah negara yang cukup hebat dalam industri automatif. Lihat sahaja jenama- jenama hebat seperti BMW, Volkswagen, Jaguar, Volvo, AUDI , Mercedes Benz, Brabus dan lain- lain. Semuanya adalah kereta " made in German ".
PERANCIS
Perancis sama seperti Jepun dan Jerman menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar baik pendidikan rendah hinggalah pendidikan tinggi. Malahan jika anda berada di Perancis, anda akan mendapati rakyat Perancis adalah rakyat yang anti bahasa Inggeris. Walaupun begitu, Perancis juga tergolong sebagai sebuah negera maju. Malaysia juga membeli kapal selam daripada negara Perancis. Jenama kereta terkenal seperti Renault, Peugeot dan Citreon adalah kereta buatan Perancis.
KOREA
Koera adalah sebuah negara mundur dan berada di belakang Malaysia pada tahun - tahun sebelum 1960. Namun begitu, mereka berjaya mengatasi Malaysia dalam masa yang cukup singkat. Sama sebagaimana Jepun, Jerman dan Perancis, Korea juga menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar dari peringkat pendidikan rendah hinggalah pendidikan paling tinggi. Malah Universiti Seoul iaitu antara 10 universiti terbaik di Asia turut menggunakan bahasa ibunda korea sebagai bahasa pengantar. Jenama- jenama popular seperti Samsung, LG, Hyundai, KIA, Ssangyong adalah sebahagian jenama Korea yang cukup dikenali seantero dunia bahkan di Amerika Syarikat sekalipun.
TAIWAN
Taiwan adalah sebuah negara yang pada hari ini cukup dikenali dalam bidang teknologi maklumat dan perfileman. Sebut sahaja jenama- jenama seperti Acer dan Asus, pasti mana- mana penduduk seantero dunia cukup mengenalinya. Acer dan Asus adalah syarikat teknologi pembuat komputer terunggul di dunia dimiliki dan diasaskan rakyat Taiwan. Taiwan menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar pendidikan dari peringkat rendah hinggalah peringkat tertinggi.
MAKA,
Sedarlah kita akan kerugian pakar- pakar dalam bidang kejuruteraan, perubatan, teknologi dan seumpamanya jika dasar ini diteruskan. Malanglah jika kita akan hilang pakar- pakar ini pada masa hadapan hanya disebabkan mereka gagal menguasai sains dan matematik sebaliknya hakikatnya mereka amat menggemari Sains dan Matematik.
MANA- MANA HUJAH YANG KATA BAHASA INGGERIS UNTUK MATEMATIK DAN SAINS ADALAH BAIK ADALAH HUJAH ORANG- ORANG YANG TIDAK MELIHAT SATU- SATU PERKARA DENGAN PANDANGAN YANG JAUH DAN KEHADAPAN.
SILA LAYARI DAN BACA JUGA, " bahasa kebangsaan bahasa ilmu " di laman http://ketuaperusuh.wordpress.com/ [ketuaperusuh.wordpress.com] atau link : http://ketuaperusuh.wordpress.com/2009/03/08/bahasa-kebangsaan-bahasa-ilmu/ [ketuaperusuh.wordpress.com]

Menjawab Komen Saudara Halim Mengenai PPSMI


oleh Afif Nazmi,
Saudara Halim bertanya,

Anda cuma memperkatakan dari satu sudut sahaja. Adakah anda sudah pasti
semua atau kebanyakan rakyat menentang PPSMI? Fikirkan isu globalisasi. Fikirkan isu kemelesetan ekonomi, isu graduan menganggur tidak berdaya saing. Adakah para akademik, DBP, GAPENA dan pejuang bahasa sanggup menterjemahkan ribuan buku-buku ilmiah terkini ke BM secara sukarela? Pejuang mesti rela berkorban utk memastikan BM layak digelar bahasa ilmu (spt yg dilakukan di Jepun) Sekiranya anda sebagai ketua syarikat antarabangsa adakah anda akan mengambil graduan yg tidak mampu berbahasa inggeris? Sekiranya kementerian pelajaran mewujudkan semula SRK (aliran Inggeris PPSMI) dan SK (aliran Melayu) adakah anda pasti SRK akan mengalami kekurangan murid? Adakah anda pasti para ibu bapa akan menyekolahkan anak-anak mereka di SK? Sudah tentu ibu bapa mahu yg terbaik utk anak-anak mereka. Oleh itu pernyataan anda bahawa PPSMI ditolak oleh ibu bapa tidak boleh diterima
.”

Itu luahan saudara Halim dalam posting saya bertajuk " Komen Mahasiswa Malaysia Mengenai Dasar PPSMI dan " 3 KEBODOHAN " ". [ klik tajuk tersebut untuk membaca artikel saya ]Sebelum itu, jutaan terima kasih atas kesudian memberi komen ke atas tulisan saya juga kerana sudi mengunjungi blog saya.

Saudara halim,

Saya faham dan sedar hasrat ibu bapa di Malaysia. Ibu bapa di Malaysia banyak yang menginginkan anak- anak mereka mendapat pendapatan dengan gaji lumayan di syarikat- syarikat bertaraf multinasional raksaksa umpama Petronas, Sime Darby, Siemen AG, Intel Corporation, Samsung Corporation, Honda, Seagate dan seumpamanya. Ibu bapa di Malaysia juga menginginkan anak - anak mereka mendapat tempat pengajian di universiti ternama baik di dalam mahupun luar negara. Dan semua ini memerlukan penguasaan yang baik dalam bahasa inggeris.
Pendirian saya secara peribadi, saya menolak dasar PPSMI ( Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ) tetapi dalam masa yang sama saya sokong hasrat kerajaan memantapkan bahasa inggeris pelajar- pelajar. Bahkan saya sendiri secara peribadi menggalakkan agar pelajar - pelajar mempelajari sebanyak mungkin bahasa. Saya sendiri menguasai 3 bahasa iaitu bahasa melayu, inggeris dan arab walaupun mungkin penguasaan saya dalam bahasa tersebut biasa- biasa sahaja.

Apa yang merisaukan saya mengenai perlaksanaan dasar PPSMI ini ialah ia akan mewujudkan 3 penyakit atau 3 kebodohan. Pelajar yang lemah bahasa Inggerisnya akan juga lemah dalam mata pelajaran matematik dan sains. Itu yang saya bimbangkan oleh kerana Sains dan Matematik adalah subjek yang lebih penting berbanding bahasa inggeris itu sendiri. Jika dasar ini diteruskan, yang malangnya pelajar - pelajar melayu kita terutama mereka yang bersekolah biasa di luar bandar. Bagaimana kita mahu perbanyakkan jurutera, juruukur, akitek, doktor, ahli farmasi jika pelajar - pelajar kita lemah sains dan matematik yang puncanya oleh kerana medium bahasa yang salah iaitu bahasa inggeris. Sains dan matematik menurut pakar- pakar sebaiknya diajar dalam bahasa ibunda atau bahasa yang mudah mereka fahami.

Saudara boleh semak dalam artikel saya. Saya tidak menentang bahasa inggeris tetapi yang saya tentang adalah mengginggeriskan sains dan matematik. Hujah - hujah saya anda boleh semak dalam artikel saya bertajuk " Komen Mahasiswa Malaysia Mengenai Dasar PPSMI dan " 3 KEBODOHAN " " . [ sila klik tajuk untuk membaca artikel ]

Oleh itu sebagaimana saya terangkan dalam artikel saya tersebut, untuk memperkasakan bahasa inggeris pelajar- pelajar kita, maka cara terbaik atau kaedah terbaik adalah melalui memperkasakan sendiri bahasa inggeris itu. Ia bukan dengan kaedah mengorbankan mata pelajaran sains dan matematik yang pada pendapat saya cara salah untuk memperkasakan penguasaan bahasa inggeris pelajar -pelajar kita. Untuk itu, kerajaan harus mencari kaedah untuk memupuk minat pelajar- pelajar dalam bahasa inggeris. Ia boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah tanpa mengorbankan subjek lain, saya ulangi tanpa mengorbankan subjek lain.
Kaedah yang boleh dipraktikkan samada dengan memperkenalkan sastera inggeris berkualiti tinggi, memperuntukkan jumlah jam yang lebih banyak bagi mata pelajaran inggeris, mengubahsuai modul bahasa inggeris supaya lebih menarik dan santai, meletakkan guru- guru bahasa inggeris berkuali tinggi di sekolah- sekolah luar bandar, mewujudkan program mewajibkan pelajar membaca bahan bacaan inggeris, mensyaratkan gred minimum bahasa ingeris untuk kemasukan ke IPTA tertentu dan seumpamanya.

Jika kerajaan tetap ingin mengorbankan mana- mana subjek untuk memperkasakan bahasa inggeris pelajar, kenapa ia bukan mata pelajaran pendidikan jasmani atau aktiviti korikulum yang bagi saya jika dikorbankan mata pelajaran ini ia adalah lebih baik. Pertamanya kerana ia sendiri bukanlah satu subjek utama dan keduanya sudah tentu ia tidak sama sekali menjejaskan mata pelajaran tersebut. Bahkan pelajar dan guru lebih selesa berkomunikasi menggunakan medium bahasa inggeris berbanding sains dan matematik yang melibatkan pelabagai istilah pelik bin ajaib. Sasterawan negara, tokoh bahasa, ahli akademik, ahli politik dan ibu bapa saya yakin tidak akan menentang kerajaan.

Saudara Halim mengatakan " Fikirkan isu globalisasi. Fikirkan isu kemelesetan ekonomi "

Apa yang saya faham saudara memberi hujah penguasaan bahasa inggeris yang tidak baik akan meberi kesan kepada ekonomi negara. Jika hujah saudara begitu, bagaimana negara- negara seperti Jepun, China, Korea, Taiwan, Jerman, Perancis, Sepanyol jauh ke hadapan meninggalkan Malaysia. Negara tersebut untuk makluman saudara majoritinya tidak reti berbahasa inggeris. Bahkan Perdana Menteri dan barisan kabinet mereka juga tidak fasih berbahasa inggeris. Tetapi hakikat yang saudara harus percayai negara - negara tersebut adalah kuasa ekonomi masa kini. Bagi saya, tidak perlu 100% rakyat fasih berbahasa inggeris. Cukuplah kelompok2 profesional dan pentadbir kerajaan menguasai bahasa inggeris dengan baik. Walaupun begitu, jika sekalipun mereka kurang fasih berbahsa inggeris, peluang mereka masih terbuka luas asalkan pandai merebut peluang di depan mata.

Seterusnya saudara Halim menyuarakan " isu graduan menganggur tidak berdaya saing ". " Sekiranya anda sebagai ketua syarikat antarabangsa adakah anda akan mengambil graduan yg tidak mampu berbahasa inggeris? "

Untuk itu, saudara halim boleh merujuk sendiri artikel saya bertajuk " Komen Mahasiswa Malaysia Mengenai Dasar PPSMI dan " 3 KEBODOHAN " "[ sila klik tajuk untuk membaca artikel ].

Saya petik beberapa hujah saya dalam artikel tersebut yang mungkin boleh membantu menjawab pertanyaan saudara.

1] " Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyebut pada awal- awal penubuhan asasi UM ( pusat persediaan sebelum ijazah), bahasa pengantar yang digunakan adalah Bahasa Melayu.
Apa yang menariknya menurut pak Engku Aziz, bekas graduan pada tahun- tahun awal penubuhan asasi UM majoritinya pada hari ini berpendapatan melebihi RM 45, 000. 00 sebulan. Ia adalah satu angka lumayan pendapatan seorang profesional di Malaysia. "

2] " Seterusnya mari kita lihat hasrat dan tujuan penubuhan UKM. UKM diilham dan ditubuhkan atas semangat mendaulatkan bahasa melayu di negara kita. Oleh kerana itu hingga hari ini UKM masih menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar termasuklah bagi kursus- kursus kritikal dalam bidang sains dan teknologi seperti kejuruteraan, perubatan, farmasi, optometris dan seumpamanya. Soalan yang harus kita tanya, adakah graduan UKM dalam bidang sains dan teknologi seperti jurutera, doktor, ahli farmasi tidak laku di pasaran kerja ???? Saya kira dalam bidang perubatan dan sains kesihatan bersekutu, UKM adalah antara 3 IPTA terbaik di Malaysia "

3] " Soalan yang sama kita tanya mengenai pelajar- pelajar UiTM secara jujur yang menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar. Saya kira berdasarkan maklumat dari banyak sumber - sumber sahih, graduan UiTM adalah graduan yang paling tinggi penganggurannya termasuklah graduan dalam bidang kejuruteraan.."

dan saya tambahkan lagi hujah - hujah saya untuk menyokong hujah saya di atas

1] Universiti Islam Anatarabangsa Malaysia menggunakan bahasa inggeris 100% sebagai medium pengajaran dan pembelajaran bagi kursus- kursusnya termasuklah kursus kejuruteraan.

2] Universiti Teknologi Malaysia tidak mewajibkan bahasa inggeris sebagai medium pengajaran dan pembelajaran sebaliknya menyerahkan kepada tenaga- tenaga pelajarnya samada untuk memberi kuliah dalam bahasa inggeris mahupun melayu atau dwibahsa.

Sumber - sumber sahih yang anda sendiri boleh rujuk mengesahkan bahawa mahasiswa UTM lebih laku di pasaran kerja berbanding mahasiswa UIAM dan termasuklah juga UiTM. Bahkan kebanyakan sumber mengesahkan mahasiswa UTM adalah mahasiswa yang paling laku di pasaran kerja dibanding IPTA - IPTA lain dalam negara termasuklah dalam kursus kritikal seperti Jurutera dan Juruukur.

Bagi saya, bahasa inggeris bukanlah pra syarat utama untuk seseorang graduan layak diberi pekerjaan. Apa yang lebih penting, gaduan tersebut perlulah mahir dalam bidangnya, boleh bekerja secara berkumpulan, mempunyai pengetahuan am yang baik, mempunyai ciri- ciri kempimpinan, aktif dalam kerja sosial, khidmat masyarakat dan kebajikan, aktif berpersatuan, berani memberi kritikan dan pandangan, sedia dikritik dan ditegur dan sedia belajar benda baru. Sebagai ketua eksekutif dan sememangnya itu matlamat saya jika diizinkan Allah, ciri- ciri begitulah yang saya perlukan bagi pekerja saya. Bahasa Inggeris hanyalah bonus. Cukuplah pekerja saya boleh berkomunikasi sedikit - sedikit dalam bahasa inggeris. Saya penuh yakin itulah ciri- ciri pekerja yang dicari oraganisasi antarabangsa, multinasional ataupun perkhidmatan kerajaan.

Saudara Halim juga menambah hujah berikut bagi menyokong dasar Tun Mahathir iaitu " Adakah para akademik, DBP, GAPENA dan pejuang bahasa sanggup menterjemahkan ribuan buku-buku ilmiah terkini ke BM secara sukarela? Pejuang mesti rela berkorban utk memastikan BM layak digelar bahasa ilmu (spt yg dilakukan di Jepun) ".

Mudah saja untuk saya menjawab soalan anda. Apakah yang anda lihat pada perhimpunan 100000 rakyat menentang dasar PPSMI. Jelas sekali barisan hadapan perhimpunan ini ialah ahli akademik, bekas ketua pengarah DBP, sasterawan negara dan pejuang bahasa. Jadi sudah tentu mereka sedia membantu dan berkorban untuk bahasa tercinta. Tetapi secara sukarela, mungkin tidak banyak yang sudi tetapi saya yakin masih ada yang rela melakukan kerja memartabatkan bahasa secara sukarela.

Walaupun begitu, matlamat kita adalah untuk menyuburkan ilmu dalam negara tetapi dengan cara tidak meminggirkan kedudukan bahasa melayu. Bahasa melayu pada masa sama harus dimartabatkan sebagai bahasa ilmu. Untuk itu, kerajaan harus mengambil langkah drastik menubuhkan pusat terjemahan terulung yang aktif. Konsep rumah penterjemah di zaman ketamadunan Islam di Baghdad dan Cordova boleh dijadikan contoh. Rumah penterjemah tersebut telah berjaya menterjemah buku- buku pelbagai genre dari segala pelusuk dunia hingga Baghdad dan Cardova di bawah pemerintahan Islam muncul sebagai pusat keilmuan terulung di dunia ketika itu. Tokoh - tokoh hebat keilmuan Islam dalam lapangan sains dan matematik hidup pada ketika itu. Justeru sekali lagi ia membuktikan bahasa bukan satu halangan untuk kita menguasai sesuatu ilmu. Samalah dengan al quran, adakah kita perlu mahir dalam bahasa arab untuk mengetahui isi kandungan al quran.
Cukuplah kita mengkaji terjemahan dalam bahasa kita.

Seterusnya saudara Halim mengatakan

"Sekiranya kementerian pelajaran mewujudkan semula SRK (aliran Inggeris PPSMI) dan SK (aliran Melayu) adakah anda pasti SRK akan mengalami kekurangan murid? Adakah anda pasti para ibu bapa akan menyekolahkan anak-anak mereka di SK? Sudah tentu ibu bapa mahu yg terbaik utk anak-anak mereka. "

saya akan menjawab dengan menanyakan soalan ini.

Apakah pelajar cina dan india minat memasuki sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar?

Sudah tentu tidak oleh kerana meraka mahu anak - anak mereka menguasai bahasa ibunda mereka dengan baik. Saya berpendapat begitu jugalah kehendak ibu bapa melayu di Malaysia. Sudah tentulah mereka mahu anak - anak mereka baik pertuturan melayunya. Oleh itu saya yakin majoriti ibu bapa di Malaysia akan menghantar anak - anak mereka ke sekolah kebangsaan atau sekolah agama.

Majoriti ibu bapa pelajar melayu menetap di luar- luar bandar, semestinya dengan keadaan persekitaran luar bandar, seolah kebangsaan akan tetap kekal sebagai sekolah pilihan ibu bapa - ibu bapa ini.

Sejarah juga telah membuktikan sebelum sekolah kebangsaan diwujudkan, majoriti ibu bapa melayu memilih sekolah agama yang menggunakan medium bahasa melayu sebagai bahasa pengantar berbanding sekolah aliran inggeris. Bahkan sebaik sekolah kebangsaan diwujudkan, bahasa melayu dituntut oleh rakyat untuk dijadikan medium pengantar di sekolah kebangsaan. Bahkan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar dipersetujui dalam laporan - laporan pendidikan termasuklah laporan Barnes, Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.

Saudara Halim juga berhujah " Oleh itu pernyataan anda bahawa PPSMI ditolak oleh ibu bapa tidak boleh diterima. "

Jika ibu bapa berkeinginan PPSMI dikekalkan, sudah tentu perhimpunan PPSMI gagal mendapat sokongan ibu bapa. Sebaliknya Gabungan Persatuan Ibu bapa dan Guru Semenanjung yang mewakili semua PIBG - PIBG seluruh negara menyokong penuh perhimpunan anti PPSMI ini. Kehadiran lebih 100 000 rakyat sudah tentu cukup menyokong hujah- hujah saya bahawa majoriti ibu bapa menolak dasar Tun Mahathir ini iaitu PPSMI.